Thursday, July 24, 2008

Kadang-kadang, hairan juga saya dibuatnya.

Walaupun harga barangan sudah meningkat secara mendadak, ramai juga yang lebih suka membeli-belah untuk barang-barang yang tidak diperlukan. Hah, apa sebabnya?

Sifat tamak haloba, sifat materialistik dan pengaruh media massa.

Jika tahu harga sudah naik, janganlah memanjakan diri dengan barang-barang yang tidak diperlukan wahai kawan-kawan sekalian. Beli sahaja barang yang diperlukan dan bukan yang diinginkan. Kalau sekali-sekala memanjakan diri, tidak mengapalah juga. Tetapi kalau tiap-tiap bulan asyik membeli-belah tidak tentu arah saja, membazir duit itu namanya!

Di televisyen, selalu juga terpampang iklan-iklan yang mempromosikan bermacam-macam produk. Produk melangsingkan tubuhlah, produk kecantikanlah, produk membijakkan otaklah. Pendek kata, bermacam-macam cara dilakukan untuk memanipulasikan pemikiran kita supaya kita teringin memiliki produk yang diiklankan.

Namun, kita tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menghentikan pengiklanan di televisyen, suratkhabar mahupun di radio. Yang ada cuma kuasa untuk menahan diri dari terkena 'rasukan' iklan-iklan tersebut.

Oleh itu, kuatkan semangat diri dan fikirkanlah apa yang sebaik-baiknya bagi mengurangkan kos perbelanjaan.

No comments: